Apakah Hukum Mewarnakan Rambut? MESTI Baca!

KINI wanita sanggup melakukan pelbagai cara untuk kelihatan cantik bagi mengejar kepuasan hidup. Ada di kalangan mereka yang tidak dilahirkan cantik akan membentuk diri menjadi cantik dengan pelbagai pengubahan penampilan diri termasuklah tubuh badan, muka dan rambut.

Paling ketara sekali sekarang ini ialah trend mewarna rambut dengan pelbagai warna yang mengubah sama sekali penampilan muka sehingga menyebabkan ia merupai bangsa lain seperti wanita dari Barat.

Pelbagai warna dari yang sinonim dengan warna asal rambut seperti dark blonde, dark blonde copper, chocolate brown, golden maroon, brown, mocha dan hazel ke warna-warna terang seperti merah, hijau, biru dan putih digunakan bagi mewujudkan penampilan matang dan bergaya.

Jika sebelum ini, gaya mewarna rambut kebanyakannya dilakukan oleh selebriti seperti penyanyi, pelakon, model dan pengacara televisyen, trend yang sama kini menjadi ikutan wanita lain seperti suri rumah, golongan profesional, pekerja biasa, usahawan dan golongan muda mudi.

Inilah yang berlaku dalam perubahan penampilan rambut terutama pada masyarakat di rantau Asia yang rata-rata berambut hitam. Kini kita lihat air muka berwajah Asia tetapi rambut seperti masyarakat Barat, berwarna perang bagi menampilkan sesuatu gaya yang berlainan.

Kegilaan

Penggunaan seperti pewarna rambut berkimia dan inai menjadi mekanisme utama dalam mengubah warna rambut.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani berkata, menjaga kecantikan memang digalakkan oleh Islam tetapi pelaksanaannya mestilah berlandaskan hukum syarak.

Wanita hari ini terlalu dimomokkan dengan kepentingan menjaga kecantikan baik rupa paras, rambut mahupun penjagaan tubuh badan agar kelihatan lebih muda, bergaya dan langsing. Namun, apakah kecantikan adalah segala-galanya dalam hidup ini dan hukumnya menurut pandangan Islam?

Menurutnya, hukum mewarna rambut perlu dilihat dari pelbagai aspek, seperti tujuan mewarna, jenis-jenis warna dan pihak yang terlibat dalam kegiatan mewarna serta kesannya kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Katanya, mewarna rambut bagi wanita hanya dibolehkan kepada mereka yang bersuami dan memakai tudung. Tujuan mewarna pula adalah untuk mencantikkan diri untuk suami dan mengeratkan tali perkahwinan itu dengan memperindahkan diri hanya untuk tontonan suami.

“Dalam Islam, ini dibenarkan kerana rambut yang diwarnakan bukan untuk tontonan orang lain dan ia bukan suatu yang kekal, hanya bertahan selama empat bulan sahaja atau sehingga tumbuh rambut baru. Mewarna rambut tidak mengubah ciptaan Allah kerana ia tidak kekal.

“Namun begitu, kini dilihat trend mewarna rambut menjadi kegilaan hampir ke semua peringkat wanita dari remaja hingga dewasa. Sekiranya mereka tidak berkahwin dan tidak bertudung tetapi mewarna rambut, ia adalah haram kerana tiada nas dalam Islam yang melarang atau membenarkan perbuatan itu.

“Sekiranya, ia mengikut trend atau golongan kafir, ia adalah dilarang kerana meniru dan merupai golongan tersebut. Malah, mendedahkan rambut yang merupakan aurat wanita adalah haram,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Dr. Anisah menegaskan, penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah menepati tiga syarat iaitu boleh menyerap air supaya air sembahyang dan mandi wajib sah, tidak mengandungi bahan yang kemudaratan pada kulit dan bahan tidak bercampur dengan najis.

“Justeru itu, semua pewarna rambut yang bertanda halal yang berada di pasaran boleh digunakan kerana telah menepati syarat itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Dr. Anisah, sebenarnya permulaan hukum mewarna rambut ini bermula semasa zaman Rasulullah di mana baginda telah meminta Abu Quhaafah, bapa kepada Abu Bakar al-Siddiq untuk mewarnakan rambut dan janggutnya yang berwarna putih tetapi menjauhi warna hitam.

“Ini bermakna warna hitam tidak boleh digunakan, warna yang sesuai ialah warna inai yang kekuningan. Ini kerana warna hitam akan menyebabkan Abu Quhaafah yang tersangat tua itu akan menjadi muda. Ini wujud penipuan usia dalam Islam.

Unsur penipuan

“Oleh itu, bagi lelaki yang sudah tua dan mempunyai uban hampir keseluruhan tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam. Warna lain boleh. Warna hitam ini hanya dibolehkan semasa peperangan bagi menggambarkan bahawa tentera itu masih muda dan kuat. Inilah hukum mewarna rambut pertama dalam Islam khusus untuk mengubah rambut beruban,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga ulamak yang menyatakan hukum mewarna itu makruh berdasarkan kisah Ibnu Masa’ud yang masih muda dan mempunyai uban yang bercampur dengan rambut hitam. Beliau tidak dibenarkan kerana usianya masih muda dan dengan perbuatan mewarna rambut untuk menutupi uban akan menyebabkan rambutnya bercampur warna antara kuning dengan hitam.

“Begitu juga ada ulamak yang menyatakan sunat iaitu berdasarkan hadis Riwayat al-Bukhari bahawa kaum Yahudi dan Nasrani tidak mewarna rambut, maka berbezalah dengan mereka.

“Maka, untuk membezakan dengan golongan ini, maka adalah sunat orang Islam mewarna rambut tetapi mengikut syarat yang ditetapkan.

“Di samping itu, ada ulamak menyatakan ia harus kerana ada di kalangan sahabat yang mewarna rambut dan sebaliknya. Justeru itu, penggunaan inai dan katam (sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai bahan pewarna) digunakan untuk menutupi uban itu,” terangnya.

Beliau menegaskan, penggunaan warna hitam untuk menutupi uban pada lelaki tidak digalakkan untuk yang sudah tua kerana wujud unsur penipuan umur tetapi bagi yang berusia 30 tahun hingga 45 tahun yang berkahwin telah mempunyai uban dibolehkan menggunakan warna hitam dengan syarat untuk menjaga hubungan suami isteri.

“Bagaimanapun setiap orang harus mengenali dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu, pada hal usianya telah tiba untuk bertaubat, sebenarnya orang itu tidak sedar diri.

Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua dan memerlukan perubahan ke arah kebaikan kerana usia semakin tidak panjang,” katanya.

1. Hukum mewarna rambut.

Umat Islam dibenarkan mewarnakan rambutnya. Berikut ini kami terjemahkan fatwa Dr. Yusof al-Qardhawi mengenainya (Al-halal Wal haram Fil Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi, hal.89-09):

[Sebahagian dari perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan wambut atau janggut yang telah beruban. Telah datang satu riwayat yang menjelaskan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani enggan mewarna rambut dan mngubahnya dengan beranggapan, antaranya ialah berhias dan memperelok diri itu dapat menghindarkan erti peribadatan dan beragama. Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib dan ahli-ahli zuhud yang bersikap berlebih-lebihan.

Tetapi Rasulullah s.a.w. melarang mengikut (taqlid) kepada suatu kaum dan mengikuti jejak langkah mereka, supaya umat Islam sentiasa mempunyai keperibadian yang berbeza, zahir dan batin. Dan, diriwaytakan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarnakan rambut, oleh itu berbezalah kamu dengan mereka. (HR Bukhari).

Amar (perintah) di sini mengandungi maksud sunat, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para sahabat, seperti Abu Bakar dan Umar. Manakala yang lainnya tidak melakukan (mewarna rambut), seperti Ali, Ubai bin Ka’b dan Anas.

Tetapi, dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam?

Orang yang telah tua, ubannya telah merata semada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mearna dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya ABu Qufahah ke hadapan Nabi s.a.w. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda:
“Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam.” (HR Muslim).

Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam amsalah ini al-Zuhri telah berkata: “Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam.” (Fathul Bari)

Segolongan ulamak salaf membenarkan mewarna dengan warna hitam, mereka ialah Saad bin ABi Waqqas, uqbah bin Amir, Hasan, Husain, Jarir dan selainya.

Sebahagian ulamak berpendapat tidak boleh dengan warna hitam kecuali dalam keadaan perang agar dapat menakutkan musu. Kerana mereka akan melihat semua tentera-tentera Islam masih kelihatan muda. (Fathul Bari).

Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan:
“Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam.” (HR Tarmizi dan ash-habusunan)

Katam adalah satu pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai berwarna merah.

Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.]

*****intaha al-Qardhawi****

Masalah:
Namun amat disayangkan sekali pada hari ini.. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jika melihat kepada saranan nabi kepada kita agar mewarnakan rambut apabila telah beruban agar kita ini berbeza dengan orang Yahudi (kafir), namun sekarang ini sebahagian dari kita mewarna rambut kerana tidak ingin berbeda dengan orang kafir.

Sudah menjadi tabiat, bangsa yang lemah meniru bangsa yang kuat. Dan, kerana orang barat rambutnya berwarna perang, maka sebahagian anak-anak muda Islam mewarnakan rambutnya dengan warna perang. Supaya kelihatan seperti orang barat. Mereka melakukannya kerana kagum, kasih dan cintakan kaum berkenaan.Sebahagiannya mewarna-warnikan rambut kerana mengamalkan budaya punk.

Adalah tidak wajar jika mereka mengatasnamakan sabdaan Rasulullah s.a.w. terhadap perlakuan mereka ini. Mereka berbuat demikian bukan sebab sabdaan Nabi atau secara bersahaja, tetapi kerana fikiran dan jiwa mereka sudah terpaut dengan kaum kafir atau budaya tertentu. Syarak tidak mengiktiraf perlakuan begini.

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong di dalam kaum itu.” (HR Abu Daud)

2. Masalah tidak sampai air ke anggota wuduk dan hadas.
Para ulamak telah ijmak mengatakan wajib menyampaikan air ke tubuh badan samada mandi atau wuduk, kecuali ketika darurat. Sebab itulah kita diperintahkan supaya menyelat-nyelati jari dan menggerak-gerakkan cincin agar air dapat sampai ke kulit. Dalilnya ialah hadis riwayat al-Khamsan dan disahihkan oleh al-Tarmizi dari Laqith bin Shabrah. Dan hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Daruquthni dari Abu Rafi’ dengan sanad Dha’if.
(Lihat Ahsanul Kalam fil Fatawa Wal Ahkam, vol 1, hal. 57-58)

Kembali kepada soalan: Apakah pewarna dari syarikat tertentu yang ada tanda halal boleh digunakan?
Jawapan secara umumnya adalah berdasarkan kepada dua penjelasan di atas. Ia boleh digunakan jika produk berkenaan:
1. Bebas dari najis.
2. Tidak menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi hadas.

Masalah ini samalah dengan masalah pewarna kuku. Islam membenarkannya tetapi bahan yang digunakan mestilah menepati ciri-ciri di atas.(ibid)

Dan, jelaslah di sini, bukan perbuatan mewarna itu yang diharamkan tetapi bahan yang digunakan. Kerana ia membabitkan sah atau tidaknya pengangkatan hadas besar dan kecil. Melainkan jika seseorang itu selepas memakainya tidak berhadas langsung samada besar ataupun kecil.

Untuk mengetahui samada bahan berkenaan menghalang air ataupun tidak, kami kira tidak susah. Jika ia berfungsi seperti inai atau za’faran atau kunyit, maka tidak mengapa. Jika ia sebagaimana minyak hitam (motor dsbnya), cat dsbnya, sudah tentu ia menghalang air.

Add Comment