Inilah Panduan Solat Dalam Penerbangan. Walaupun di Udara, Solat Tetap Wajib!

Musafir dalam penerbangan sering tertanya-tanya, bilakah mula dan berakhirnya sesuatu waktu solat itu?
Kewajipan mendirikan solat tepat pada waktunya adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Adalah merupakan kesepakatan jumhur bahawa solat itu wajib dilakukan dalam waktunya yang sah dan tiada kelonggaran mudah yang disediakan dalam suasana perjalanan mahupun musafir.

Masalah paling besar adalah arah penerbangan yang adakalanya sehaluan dengan pusingan bumi dan arah gerak matahari, atau adakalanya sehaluan dengan pusingan bumi tetapi berlawanan pula dengan arah gerak matahari, ditambah dengan arah penerbangan yang menuju ke utara dan ada yang ke selatan dan ada yang tidak mempunyai arah yang tetap dalam sepanjang perjalanan, semuanya menyumbang kepada kesukaran mengira dan menentukan waktu solat.

Sebenarnya ada banyak kaedah yang boleh membantu anda menentukan waktu solat dengan tepat namun perkongsian daripada mahasiswa ini diterangkan dengan cukup jelas dan mudah.
Semoga bermanfaat buat anda yang bakal bercuti atau melanjutkan pelajaran di luar negara! Norzalina Mohd Alias

“Syukri, aku nak solat sekejap. Nanti kalau ada stewardess datang tanya apa-apa, tolong bagitahu boleh?”
Aku menyampaikan pesanan kepada sahabat di kerusi sebelahku itu. Sambil mata berkalih ke luar tingkap kapal terbang A380 itu, memerhatikan cahaya oren senja sudah lenyap, yang kini menandakan sudah masuk waktu Isyak.

“Okay. Solat je. Aku back up ko,” balas beliau sambil senyum tersengih. Mahu menjadi lawak tetapi tak jadi.
Suasana dalam kapal terbang itu mula sunyi. Penumpang-penumpang lain sudah mula melelapkan mata, bagi mengisi masa sebelum tiba di London dalam masa 9 jam.

Aku mengangkat takbir untuk solat jamak takhir, Isyak dan Maghrib. Ada juga penumpang Mat Saleh yang memerhatikan aku, tetapi tak berkata apa-apa. Sudah biasa barangkali.
Pesawat meluncur laju membelah angin, dalam kedinginan malam di langit luar. Selesai sahaja menunaikan fardhu ain itu, Syukri memusingkan badan menghadapku, dan memulakan perbualan.
“Macam mana ko tahu masuk waktu Isyak dah eh? Ada dapat wahyu daripada mana-mana ke? Skrin monitor depan kita ini tak ada tulis apa-apa pula.”

Aku tersenyum. Sudah dapat mengagak soalan sebegitu daripada junior kesayanganku ini. Baru pertama kali menaiki penerbangan merentas benua, lebih 10 jam. Sebagai senior yang disayanginya, aku menjawab persoalannya itu.

“Mudah je. Tengok tingkap luar sana. Cahaya oren senja waktu kita berlepas tadi, dah hilang. Sekarang langit dah gelap gelita kan? Itu petanda sudah habis waktu Maghrib.”

Sejurus sahaja bulatan matahari itu ‘tenggelam’ sepenuhnya pada ufuk, menandakan masuknya waktu Maghrib. Kemudian, apabila hilang sahaja cahaya oren di langit secara sepenuhnya, itu pula petanda waktu Isyak masuk. Sesiapa yang berpuasa, siap sedia pegang kurma di tangan.

Beliau mendengar penuh fokus sambil berpaling pada tingkap pesawat itu. Aku menyambung lagi,
“Waktu solat atas kapal terbang ini senang je nak faham. Hanya fokus pada Subuh, Zuhur dan Isyak. Sebab Asar dan Maghrib itu boleh jamak dengan pasangannya.”

Aku menarik nafas, dan minum jus oren daripada cawan kertas Malaysia Airlines itu.

“Okay pertama, solat Subuh. Nak tahu bila? Tengok luar tingkap, perhatikan bila langit hitam, ada muncul sedikit jalur putih di ufuk. Itu petanda Subuh masuk.”

“Zuhur pula? Rujuk pada peta timezone pada skrin monitor ini. Zuhur bermaksud gelincir matahari, iaitu bila saat matahari betul-betul tegak atas kepala kita, dan sudah terlebih sedikit ke arah Barat.”

Sambil itu, aku membuka bahagian Flight Information pada skrin monitor, dan klik pada bahagian world map timezone.
“Terakhir, Isyak. Macam aku cakap tadi. Tengok luar tingkap, bila cahaya oren senja dah hilang sepenuhnya. Itu petanda Isyak sudah masuk.”

Kelihatan Syukri mula mencatat-catat informasi tersebut pada iPhone nya. Untuk rujukan masa depan, barangkali.

“Macam mana ko tahu benda ini?” beliau bertanya. Aku melihat anak mata hitamnya, dan seraya menjawab,
“Pengalaman.” Ringkas. Tetapi padat.

Sempat aku menambah lagi,

“Atau sekarang dah ada wujudnya Apps untuk tahu waktu solat ketika atas flight. Nama dia MyMuwaqqit. Baru sahaja dilancarkan oleh Persatuan Falak Syari’e Malaysia. Hanya key in nombor flight, terus keluar senarai waktu solat nya. Setakat ini, baru ada untuk Android. iPhone belum lagi, sebab itu aku tak pakai.”

Mimik muka Syukri tergelak, “Hek eleehhh.. Baik bagi nama Apps je tadi, kan senang!” Kami serentak ketawa bersama.
Ya, memang mudah apabila guna Apps. Tetapi memahami konsep asas di sebalik waktu solat ketika atas penerbangan, juga merupakan ilmu mahal yang boleh dapat daripada pengalaman belajar di negara Eropah tersebut.

Add Comment